PENGGUNAAN BAHASA KESAT MEDIA SOSIAL
TAJUK: PENGGUNAAN BAHASA KESAT MEDIA SOSIAL
SESI: 2 2021/2022
KURSUS: PELANCONGAN DAN HOSPITALITI DALAM ISLAM
KOD:MPU23072
NAMA
NADHIRAH UZMA BINTI HUSSIN(26DRT21F1002)
KHAIRUNNISA BINTI MOHAMAD HAZIZI(26DRT21F1003)
QATRUL NAJJA BINTI AZIZAN(26DRT21F1006)
NUR ADIBAH SYAHIRAH BINTI ZULKEFLI(26DRT21F1020)
PENSYARAH
PUAN DINA BINTI KHALIK
PENGGUNAAN BAHASA KESAT MEDIA SOSIAL
PENGENALAN
‘Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa’. Keindahan sesuatu bahasa dapat dilihat jika digunakan dengan perkataan yang sopan dan betul. Begitu juga sebaliknya. Malah, penggunaan bahasa yang digunakan juga mampu mencerminkan jiwa dan keperibadian seseorang. Penutur yang menggunakan bahasa kasar kebiasannya akan menggambarkan penutur tersebut mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa kasar atau kesat merujuk kepada penggunaan bahasa yang tidak sopan atau tidak manis untuk dituturkan atau ditulis kerana ia akan menimbulkan perasaan sakit hati terhadap orang yang membaca atau mendengarnya. Penggunaan bahasa yang kasar dan kesat juga akan menimbulkan kesan yang buruk malah mampu menjejaskan hubungan kedua-dua pihak terbabit. Ini kerana penggunaan bahasa kasar mempunyai konteksnya yang tersendiri dan hanya sesuai digunakan dalam situasi yang tertentu dimana kebiasaannya ia digunakan ketika berhubung dengan teman-teman karib dan setaraf, serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dalam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga.
Walaubagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial kebelakangan ini agak berani tampil dengan ‘status’ di Facebook atau Twitter menggunakan bahasa yang kurang sopan hingga mengetepikan sensitiviti pihak lain. Istilah ‘segalanya di hujung jari’ banyak memberi impak yang positif dan negatif kepada pengguna telefon pintar yang saban hari semakin meningkat khususnya di Malaysia. Menurut laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta pada 2012. Maka tidak hairanlah jika media sosial menjadi salah satu keperluan dan kepentingan kepada individu di dalam kehidupan yang serba mudah sekarang.
Penggunaan media sosial terutamanya seperti Facebook dan Twitter sudah sebati di dalam kehidupan masyarakat kita. Media sosial bukan sahaja membantu dalam penyelidikan tetapi juga merupakan satu medium yang dapat menghubungkan antara satu sama lain dari segenap dunia tidak kira dalam mahupun luar negara. Facebook dan Twitter kini menjadi medan untuk berinteraksi sesama lain untuk berhubung mengenai sesuatu isu setiap masa, secara tidak langsung dapat berinteraksi dengan artis kegemaran mereka.Oleh itu,penggunaan ayat-ayat dan perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah ini semakin berleluasa menjadi perbualan santai dalam kalangan masyarakat khususnya remaja.
Melalui media sosial ini juga kita dapat melihat ada segelintir rakyat Malaysia berani tampil untuk memberi pendapat tentang sesuatu isu dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan. Contohnya seperti kes Zed Zaidi memberi komen mengenai kehilangan pesawat MH370 melalui Twittter telah memberi banyak impak kepada masyarakat kita kerana kenyataan tersebut langsung tidak menjaga sensitiviti semua pihak yang terlibat. Selain itu, kes Alvin dan Vivian pada Ramadhan tahun lepas telah menimbulkan kemarahan terutamanya di kalangan umat Islam kerana pasangan tersebut telah memuatnaik gambar di Facebook dengan kandungan gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang mengandungi logo halal. Kes-kes sebegini sepatutnya tidak boleh terjadi kerana media sosial merupakan medium untuk semua pengguna memperoleh maklumat dengan cepat. Banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan terjadinya kes-kes seperti ini lebih-lebih lagi dikalangan masyarakat kita dimana majoritinya adalah melayu yang beragama Islam. Meskipun apa yang dilakukan pasangan Alvin dan Vivian itu menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam terutamanya haruslah sentiasa beringat dengan imej Islam yang dibawa agar ianya tidak menjejaskan pandangan masyarakat lain terhadap agama Islam sendiri. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
Sebagai salah seorang pengguna media sosial yang mengikuti perkembangan semasa serta trend terkini, kita haruslah berfikir semasaknya sebelum menyatakan sebarang pendapat atau idea kerana tidak semua pendapat yang diberi mampu diterima orang lain dimana dikhuatiri mampu mengakibatkan seseorang itu mengalami tekanan akibat dimalukan di media social seperti ini. Ini kerana, ramai dikalangan masyarakat kini mengambil inisiatif untuk meluahkan kemarahan mereka terhadap seseorang dengan mengaibkan mereka sama ada dengan memuatnaik ‘status’ atau gambar yang memalukan. Serangan seperti yang dilakukan ini mampu memberi tekanan selain menjejaskan emosi si mangsa. Sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin, kita juga harus sentiasa beringat agar tidak menyalahgunakan media laman sosial seperti Facebook dan Twitter ini untuk melepaskan kemarahan terutamanya kerana dalam keadaan ini manusia selalunya akan hilang pertimbangan diri sehingga mampu mengeluarkan bahasa kesat.Ia seakan diterima pakai dalam masyarakat bila perkataan yang kurang sopan menjadi biasa dalam perbualan harian atau ketika bergurau.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Itulah perumpaan yang ditinggalkan nenek moyang kita sebagai pesan-pesanan kepada generasi yang akan datang agar pertuturan dapat dijaga dan kesantunan budi bahasa dapat dikekalkan. Kadang-kala manusia berada pada minda separa sedar dimana mereka berasakan luahan emosi yang diekspresikan pada ‘status’ melalui penulisan mereka itu hanya pada papan kekunci mereka. Seharusnya kita sedar bahasa penulisan itu sebenarnya mampu dibaca oleh orang lain malahan masyarakat dari seluruh dunia. Kebebasan dalam menggunakan media sosial haruslah tidak disalahgunakan kerana negara kita mempunyai undang-undang. Jika seseorang itu didapati bersalah kerana menjatuhkan orang lain dengan fitnah bertulis terutamanya jika ia dilakukan dalam media sosial sehingga menyebabkan seseorang mengalami kerugian mahupun tekanan emosi, maka seseorang itu boleh dihadapkan di mahkamah atas tuduhan memfitnah. Dimana jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman dibawah akta fitnah. Oleh itu, perkara seperti ini seharusnya tidak dipandang remeh. Didikan dan kesedaran dalam menggunakan media sosial ini harus ada pada setiap masyarakat agar tidak menyalahguna atau mengambil kesempatan terhadap kebebasan menggunakan media sosial di negara ini.
Seterusnya, dalam konteks pengunaan bahasa, para pendidik dan ibu bapa dilihat memainkan peranan dalam membimbing para pelajar dan anak-anak mereka dalam membentuk gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ketegasan para pendidik dan ibu bapa amat diperlukan agar anak-anak terbiasa dengan disiplin pertuturan yang baik walau di mana mereka berada. Anak-anak terutamanya pada peringkat umur kanak-kanak dan pelajar sekolah sememangnya amat mudah mempelajari ungkapan baru daripada orang di sekeliling mereka. Terutamanya kita sekarang terdedah kepada unsur-unsur gaya kebaratan yang sering menggunakan bahasa kesat dalam sosial seharian mereka memandangkan penggunaan internet yang tidak terkawal seterusnya menjadi ikutan masyarakat ini meskipun norma kehidupan kita ada berbeza sebelum ini. Masyarakat kita kini cenderung dan terikut-ikut gaya barat dalam pergaulan seharian, walaupun pada dasarnya penggunaan kata yang digunakan ada bahasa-bahasa kesat.
Anak-anak umpama kain putih yang suci dan bersih dan anugerah yang tiada nilainya bagi sepasang suami isteri. Oleh itu, peranan sebagai ibu bapa pula untuk mencorak kehidupan anak-anak mereka untuk menjadi corak yang menarik dan sempurna. Dek kerana arus teknologi masa kini, kesibukan dan kesuntukan masa dalam menjaga anak-anak agak terbatas lantaran kesibukan dengan kerja mereka. Sikap sambil lewa dan tidak mengambil berat terhadap anak-anak inilah yang menjadi punca wujudnya sifat-sifat negatif dalam diri anak-anak. Sikap sebegini akan menyebabkan sesebuah keluarga kurang mesra dan kasih sayang. Dari situ juga anak-anak akan menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka kepada ibu bapa dengan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Contohnya, mereka memprotes dengan cara bersikap kurang ajar dan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar di dalam kehidupan seharian melalui media sosial. Selain itu, corak gaya hidup seseorang juga menjadi antara faktor seseorang itu mengeluarkan kata-kata kurang sopan malah akan menggunakan bahasa yang sama apabila berinteraksi dengan orang luar.
Faktor lain yang dipandang serious adalah pergaulan bebas golongan muda zaman sekarang. Menurut Socialbakers, statistik pengguna media sosial di Malaysia yang berumur antara 18-24 tahun merupakan pengguna paling tinggi sebanyak 35% dan diikuti 29% berumur antara 25-34 tahun. Seperti sedia maklum, peringkat umur sebegini banyak meluangkan masa seharian dengan rakan-rakan. Dari situ juga sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan rakan sebaya dari segi pertuturan seharian, kelakuan dan sebagainya. Gejala ini akan berterusan jika seseorang individu tersebut gagal mengawal kelakuan sendiri.
Selain itu, faktor emosi juga dilihat penyumbang kepada kurangnya kesantunan seseorang dalam berbahasa. Ketika seseorang berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi, ia mampu menjadikan seseorang itu hilang pertimbangan dalam memilih bentuk untuk berbahasa. Dalam situasi ini, kebiasaannya bentuk bahasa yang mengandungi kata maki hamun yang mampu menyakitkan hati orang lain akan menjadi konteks pemilihan penutur. Natijahnya, seseorang akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini sesuai untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa penutur.
Secara tuntasnya, individu itu sendiri sebenarnya haruslah memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah penggunaan bahasa dan kata–kata kesat dalam media sosial kerana sememangnya ia mampu menimbulkan kesan buruk terhadap orang lain. Melalui penulisan juga seseorang boleh dinilai sama ada mempunyai akhlak yang baik atau sebaliknya. Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sopan santun dalam berbahasa haruslah bersama-sama mendukung tanggungjawab seperti yang pernah diikrarkan dalam rukun nagara kita yang kelima memastikan budi bahasa jiwa bangsa dapat dipelihara dan dikekalkan iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
Sebagai pengguna kepada media sosial terutamanya Facebook dan Twitter, kita haruslah sedar bahawa kita bukan bertutur dengan mesin semata. Segala pendapat peribadi mahupun informasi yang kita kongsikan pada ‘status’ laman tersebut mampu dilihat dan dibaca oleh orang ramai. Oleh itu, sebelum memuatnaik atau berkongsikan sesuatu di laman Facebook atau Twitter, kita haruslah bijak dalam mempertimbang dan memikirkan akibatnya sebelum bertindak. Penggunaan bahasa dan kata-kata kesat sememangnya haruslah dielakkan terutamanya dalam medium ini kerana silap langkah ia mampu memakan diri.
Harus diingat, setiap yang terjadi akan memberi kesan kepada masyarakat kita lebih-lebih lagi di kalangan orang melayu. Orang melayu yang kaya tutur kata yang sopan dan berbudi bahasa ini hendaklah memelihara budaya yang semakin ditelan zaman ini. Pengguna media sosial hendaklah sentiasa peka dengan keadaan sekeliling sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan atau pendapat di Facebook atau Twitter. Sensitiviti orang sekeliling hendaklah diambil kira dalam segenap isu lebih-lebih lagi tahun 2014 yang banyak cabaran dan dugaan untuk negara kita.
Denda dan hukuman yang setimpal daripada pihak berkuasa sering menanti mereka yang melakukan kesalahan dalam mana-mana penggunakan bahasa kasar yang menyentuh sensitiviti orang lain dengan bebas dan sewenang-wenangnya. Oleh itu, setiap individu pastinya akan lebih berhati-hati dan sentiasa peka dalam penggunaan bahasa yang betul dan lebih bersopan. Masyarakat juga harus didedahkan dengan akta-akta yang boleh disabitkan atas kesalahan mereka dalam berkongsi pendapat pada ‘status’ di laman Facebook atau Twitter mereka. Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesedaran masyarakat kepada kesan buruk penggunaan bahasa yang tidak sopan ini. Pihak-pihak yang berkuatkuasa seperti Dewan bahasa dan Pustaka haruslah sentiasa menganjurkan dan mengadakan kempen berbudi bahasa, seminar-seminar, bengkel, ceramah dan forum kepada masyarakat, terutamanya pihak media seperti rangkaian televisyen dan radio, pengiat seni seperti artis-artis dan penerbit filem atau drama serta pelajar khususnya agar kesedaran dan tanggungjawab sentiasa tertanam pada setiap individu masyarakat agar mengelakkan penggunaan bahasa kasar dalam media sosial mahupun pertuturan seharian mereka.
Aktiviti-aktiviti seperti ini pastinya dapat membuka mata dan ruang minda masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan bahasa. Tidak dinafikan, tindakan pihak-pihak berwajib adalah perlu dan penting dalam menangani masalah penggunaan bahasa kasar yang semakin menular di kalangan masyarakat. Namun begitu, tanpa penglibatan penuh dan sokongan padu daripada setiap individu masyarakat pastinya usaha yang dijalankan oleh pihak tertentu adalah sia-sia. Oleh itu, setiap individu juga berperanan penting dalam menangani masalah ini. Penting untuk berfikir dan menapis dahulu bahasa dan kata-kata sebelum bertutur atau berkongsi sesuatu pendapat di laman sosial.
Comments
Post a Comment